Tindakan
rakus pihak kerajaan UMNO/BN negeri Terengganu pimpinan Menteri Besar Dato Seri
Ahmad Said merampas tanah yang telah dianugerahkan kepada Sekolah Rendah Islam
Darul Bayan (SRIDB) di Mukim Paka sewaktu zaman pemerintahan kerajaan PAS
(1999-2004) melengkapkan lagi siri kezaliman kerajaan UMNO/BN di negeri ini.
Samada
dari segi pentadbiran mahupun dari segi logik akal, tidak ada alasan lansung
yang manasabah, mengapa kerajaan UMNO tergamak bertindak zalim merampas
sebahagian tanah 2 ekar yang telah dikurniakan kepada SRIDB untuk dipecah lot
dan dibahagi-bahagikan kepada 5 orang JKKK yang merupakan pimpinan UMNO
Cawangan. Padahal insitusi pendidikan Islam ini, yang berdaftar dengan Jabatan
Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT) telah banyak berjasa, melahirkan ramai pelajar
yang cemerlang dan bakal menjadi ulamak.
Kalau
pengambilan balik tanah rakyat ini dibuat berdasarkan tujuan akta atau kanun
tanah negara, sudah tentulah ianya untuk kepentingan awam khususnya untuk
tujuan pembangunan. Sedangkan kompleks sekolah ini telah pun didirikan
bangunan untuk memenuhi kepentingan awam
bagi menampung tempat pendidikan rakyat. Di sinilah kita boleh melihat apa yang
dilarang oleh Nabi SAW tentang fahaman assobiyyah (kebangsaan) iatu,
"membantu kaummu di atas dasar kezaliman", sememangnya sudah menjadi
darah daging UMNO. Mereka sanggup menukarkan kepentingan pembangunan sekolah
agama yang diberi keutamaan oleh ibu bapa sekarang kepada kepentingan kroni
mereka, JKKK.
Saya
teringat sewaktu bersama pimpinan kerajaan PAS dahulu, kami difitnah dengan
begitu dahsyat (dengan gambar besar terpampang di merata tempat) menzalimi
anak-anak kecil tadika yang terpaksa mengusung kerusi-meja kerana kerajaan PAS
didakwa bertindak menghalau mereka yang terpaksa berpindah ke bangunan baru.
Sedangkan apa yang sebenarnya berlaku pada waktu itu, Kerajaan Negeri dan
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KEMAS berada di bawahnya) telah berbincang
dan bersetuju supaya untuk jangka panjang mana-mana tadika yang ditempatkan di
balai raya akan dipindahkan ke bangunan yang lebih selesa oleh pihak
kementerian, dengan itu balai raya boleh dikembalikan kepada fungsi asal
sebagai pusat komuniti termasuk untuk mengadakan mesyuarat dan bilik gerakan
kampung. Tidak banyak pun tadika yang berpindah, sebahagian besarnya kekal di
balai raya sehingga sekarang, tetapi UMNO berjaya membuat dakyah (dengan
mengambil gambar sewaktu anak-anak ini berpindah) yang menggambarkan kerajaan PAS
terlalu zalim menghalau anak-anak kecil yang memerlukan pendidikan.
Sekarang
apa pimpinan UMNO nak jawab berhubung isu perampasan tanah yang melibatkan masa
depan pendidikan anak-anak orang Melayu Islam kita ini? Di mana peranan UMNO
sebagai juara pendidikan rakyat? Apakah mereka tidak mempunyai sekelumit iman
pun sehingga sanggup menggagalkan pembinaan asrama untuk pelajar-pelajar
anak-anak yatim yang bakal didirikan di tanah rampasan tersebut? Adakah mereka
akan berbohong lagi seperti dahulu atau sebagaimana yang mereka lakukan dalam
isu lembu NFC yang melibatkan penyelewengan wang rakyat RM250 juta. Ramai pihak
membuat kesimpulan bahawa pimpinan UMNO Terengganu memang tidak berminat kepada
pendidikan Islam dengan hujjah berikut :
a)
Semua sekolah-sekolah agama di bawah kerajaan negeri dahulu dan institusi
pengajian tinggi KUSZA telah diserahkan kepada kerajaan pusat, manakala
negeri-negeri lain sedang mengembangkan sekolah dan IPT di bawah pentadbiran
kerajaan negeri masing-masing.
b)
Polisi kerajaan negeri yang tidak menggalakkan bahkan mengawal penghantaran
pelajar jurusan agama ke Timur Tengah khususnya di Universiti al-Azhar
menggambarkan mereka tidak berminat melahirkan lebih ramai ulamak.
c)
Tidak bersedia memberikan zakat kepada pelajar-pelajar persendirian yang
mengambil jurusan agama sedangkan salah satu asnaf zakat adalah hak pelajar
iatu golongan yang berjihad pada jalan
Allah.
Masyarakat
mesti menghukum pemerintah seumpama ini. PRU 13 adalah tindakan yang paling
bijak supaya UMNO tidak lagi diberi kuasa memerintah dan menguruskan masa depan
kita dan menggantikannya dengan PAS (PGU - PAS ganti UMNO) yang mempunyai
'track record' sewaktu memerintah
dahulu. RasuluLlah SAW menegaskan, doa mereka yang dizalimi tidak ada hijab di
sisi Allah SWT. Dengan apa yang berlaku, isu ini menjadi tanda berakhirnya
pemerintahan UMNO/BN dalam PRU 13 akan datang, insya Allah.
No comments:
Post a Comment