Wednesday 25 April 2012

Kebangkitan Rakyat Terengganu


Tanggal 24 April 2012 merupakan suatu sejarah kepada rakyat negeri Terengganu yang sukar dilupakan. Pada tarikh tersebut, saya turut sama dengan pimpinan PAS yang lain memimpin rakyat mengadakan himpunan secara aman di perkarangan Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. Kami telah berjaya menyampaikan memorandum bantahan kepada YAB Menteri Besar Negeri Terengganu, Dato Seri Ahmad Said berhubung isu rampasan tanah rakyat. Kebetulan hari itu sedang berlansung sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Himpunan rakyat bermaruah, lebih 5000 orang ini menandakan rakyat Terengganu sudah mulai bangkit. Mereka rasa ada harga diri dan hak yang perlu ditunjukkan kepada pihak yang berkuasa. Selama ini dengan slogan kerajaan UMNO/BN 'rakyat didahulukan', mereka mengambil sikap senyap saja walaupun ada isu-isu yang menyentuh hati mereka. Isu kenaikan harga barang-barang, kos hidup yang semakin tinggi, projek yang membazir seperti 'monsoon cup', penyelewengan projek seperti stadium Sultan Mizan yang runtuh, tidak meletakkan keutamaan projek untuk rakyat seperti Zoo Bukit Takal, Kemaman dan isu-isu lain, mereka hanya sekadar mengeluh dan memendam perasaan geram dan rasa tidak puas hati.

Sebenarnya isu tanah ini sudah lama rakyat tidak puas hati. Bermula selepas jatuhnya kerajaan PAS/Barisan Alternatif pada tahun 2004 dulu, kerajaan UMNO/BN telah merampas balik hampir 50,000 lot tanah rancangan tanah berkelompok (RTB) samada tapak rumah atau tanah pertanian yang dikurniakan oleh kerajaan PAS kepada rakyat yang layak, tetapi tidak sempat dikeluarkan geran hak milik kekal. Tindakan MB, Ahmad Said adalah sama dengan kezaliman bekas MB, Idris Jusoh yang telah menjadi 'habit', suka merampas tanah rakyat dengan sewenang-sewenangnya. Antara kandungan memorandum yang disampaikan adalah berkait dengan isu-isu tanah berikut :

a) Tanah Sekolah Islam Darul Bayan di Paka - tanah seluas 2 1/2 ekar dikurniakan kepada sekolah sejak tahun 2003, tetapi sebahagiannya dirampas untuk dibahagi-bahagikan kepada 5 orang JKKK UMNO di mana sebahagiannya untuk tapak cadangan asrama anak yatim.

b) Tanah RTB Kubang Labi, Kampong Banggol, Permaisuri, Setiu - 70 peserta RTB yang dikurniakan tanah sejak 2002, dirampas tanah mereka oleh pihak kerajaan untuk projek ternakan udang, i-SHARP.

c)  Tanah padi kampong Jelapang, Setiu - tanah yang telah diusahakan sejak tahun 1980 an, melibatkan 88 peserta/keluarga dengan keluasan 200 ekar tidak disambung lesen tumpangan (LMS) dan dipaksa untuk diserahkan apa yang didakwa sebagai projek mini estet padi.

d) Tanah kampong Banggol Donas, Jeram - satu perkampungan Melayu yang melibatkan 22 buah rumah hilang kerana kerajaan tidak mahu bertolak ansur untuk jalan alternatif susur keluar projek Lebuh Raya Pantai Timur yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui tanah milik sebuah syarikat korporat.

e) Tanah untuk generasi kedua Felda - tanah rezab di kawasan Felda Ketengah Jaya yang asalnya dipecah lot sejak tahun 2003 untuk dibahagikan kepada lebih 500 orang generasi kedua Felda dirampas semula oleh pihak kerajaan untuk projek yang didakwa sebagai projek perumahan yang akan dijual kepada orang ramai

Apa yang lebih menyedihkan, dalam keadaan 'kepentingan rakyat tidak didahulukan', kerajaan UMNO/BN tanpa rasa segan dan silu dengan bangga mengesahkan dalam sidang dewan undangan negeri pada hari perhimpunan tersebut, seramai 12 orang wakil rakyat UMNO/BN telah dikurniakan lebih kurang 2 1/2 ekar tanah setiap orang dan akan diikuti oleh wakil-wakil rakyat UMNO/BN yang lain selepas ini. Mereka sudah lupa tanggungjawab mereka sebagai pemimpin yang mengambil amanah Allah untuk menjaga kepentingan rakyat. Mereka tidak ingat lagi slogan yang mereka cipta iatu wakil rakyat adalah 'khadam rakyat'. Mereka benar-benar menggunakan kuasa mereka dengan rakus, sebab mereka yakin rakyat tetap menyokong mereka walau apa pun tindakan mereka.

Kebangkitan yang berlaku di negara-negara Arab (Arab Spring), memperlihatkan satu demi satu kuasa dan pemimpin  diktator jatuh menyerah kepada rakyat, tidak mustahil berlaku di negara kita. Mereka melihat parti dan pemimpin yang begitu lama berkuasa sudah tidak boleh dipercayai lagi kerana menyalahgunakan kuasa, rasuah, membina dan mengumpul kekayaan untuk diri, keluarga dan kroni serta bertindak zalim kepada rakyat.

Mereka tidak boleh berpeluk tubuh lagi, hanya sekadar sebagai pemerhati melihat kezaliman yang beraku. Mereka sudah tidak sabar untuk mengajar UMNO/BN bukan sekadar di jalan raya tetapi di peti undi dalam PRU 13. Inilah kuasa sebenar rakyat, selain dari doa orang yang dizalimi, tiada hijab di sisi Allah SWT. Rakyat Terengganu harus bangkit dan membuat perubahan. Tawaran manifesto PAS negeri termasuk membela rakyat yang hak tanah mereka dizalimi. Tema manifesto iaitu ' Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan' insya Allah tidak mengecewakan rakyat.

Saturday 7 April 2012

Pentingnya Ilmu Pengurusan Yang Efektif



Kira-kira 2 minggu lepas, saya turut sama membantu seorang konsultan dari Kuala Lumpur mengendalikan satu kursus pengurusan untuk kakitangan pejabat perhubungan negeri serta semua setiausaha dan setiausaha kerja di peringkat dewan-dewan (negeri) dan kawasan-kawasan.

Pada umumnya kursus ini sangat baik, terutama bagi tujuan untuk baik pulih (service) supaya kakitangan pentadbiran lebih terdedah kepada ilmu pengurusan semasa dan tidak berada dalam zon selesa (comfort zone). Antara cabaran gerakan Islam ialah sebagaimana yang diungkapkan oleh Saidina Ali karramallahu wajhah, " Tanzim yang benar tetapi tidak tersusun boleh dikalahkan oleh tanzim yang batil, tetapi tersusun (well organised). Inilah hasrat saya sewaktu merancang kursus ini supaya petugas dan jentera parti lebih bersedia dan lebih mahir dalam mengurus kerja terutama dalam menghadapi PRU 13.

Dalam ucapan penutup, saya menyebutkan kepada mereka bahawa saya sendiri banyak menimba ilmu dan pengalaman dalam kursus selama 2 hari ini, walaupun sebelum ini pernah mengikuti pelbagai kursus. Antara lainnya di Institut Tadbiran Negara (INTAN), Pusat Daya Pengeluaran Negara (NPC), Jabatan Kilang & Jentera selain dari kursus di Akademi Pembangunan Insan (Pupuk Semangat) dan kursus untuk melengkapkan syarat menjadi pengerusi atau ahli lembaga pengarah syarikat (GLC) sewaktu zaman kerajaan (PAS).

Antara fokus dan pendedahan kursus ini ialah, sikap bekerja yang berkesan, pengurusan yang mantap dan alat-alat pengurusan yang efektif. Sebagai setiausaha perhubungan negeri dan ketua pentadbir parti, saya sangat mengharapkan beberapa perkara berikut yang dibincangkan dalam kursus diberi perhatian dan menjadi agenda bertindak di kalangan peserta kursus :

a) Sikap dan budaya kerja yang lebih berkesan seperti bersifat proaktif, kerja bermatlamat, meletakkan keutamaan, mencapai suasana menang-menang (win-win situation) dan hubungan sinergi.

b) Pengurusan yang lebih sistematik, mendahulukan pelanggan (orang ramai) dan komunikasi yang berkesan termasuk melalui penggunaan kemudahan ICT seperti telefon, sms, emel, face book, twitter dan lain-lain.

c) Mampu menyediakan sistem laporan kerja yang ringkas tetapi bersifat mewakili dan mudah difahami dengan cara persembahan dan format terkini.

Apa yang penting selepas kursus ini, setiap kakitangan mesti mampu menyelesaikan masalah kerja di medan masing-masing dengan matlamat yang telah ditetapkan (management by objective - MBO). Penggunaan indikator pengukur prestasi (key performance indicator - KPI) adalah sangat baik kepada setiap kakitangan tetapi isu sikap dan budaya kerja yang tidak efektif mestilah diselesaikan terlebih dahulu. Sebagai sebahagian dari mata rantai perjuangan Islam, masing-masing perlu melakukan yang terbaik untuk parti. Gaya kerja petugas kita mestilah dilihat sebagai gaya kerja pihak yang akan menang dan bakal memerintah. Kalau tidak, kita akan terus berada ditakuk lama dan tenggelam dengan angan-angan.

"PRU 13 adalah ibu segala perang dan mesti dimenangi oleh UMNO/BN dengan apa cara sekalipun", kata Dato Seri Najib sebagai Presiden UMNO, sekaligus sebagai ketua kerajaan. Kenyataan ini adalah signal amaran kepada kita, bahawa pihak lawan telah dan sedang membuat segala persiapan untuk mempertahankan kerajaan yang ada. Oleh itu, semua petugas parti wajib berjihad dan mengerahkan segala kekuatan - ilmu pengurusan, masa, tenaga dan wang ringgit untuk memenangi pilihanraya kali ini, insya Allah.

Setiap petugas kita mesti melakukan kerja secara sistematik. Strategi kerja menarik pengundi mesti dipelbagai dan tidak tenggelam dengan pendekatan yang sama (streotype) kerana pengundi terdiri dari pelbagai latarbelakang yang berbeda. Kerja menghadapi pilihanraya menuntut kita untuk bekerja secara terus menerus, bukan secara bermusim. Fokus kerja mesti ditumpukan kepada pengundi-pengundi sasaran, bukan hanya berlegar dikalangan sesama sendiri.

Gendang perang pilihanraya sedang dipalukan oleh pihak yang berkuasa. Maka marilah sama-sama kita beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud :

" Berangkatlah kamu samada dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itulah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui ".  (at-Taubah, ayat 41)

Sunday 5 February 2012

PAS Sebagai Harapan Masyarakat Cina Terengganu


Baru-baru ini saya turut hadir majlis makan malam bersama Dato Seri Tuan Guru (DSTG) Presiden bagi meraikan masyarakat Tionghua di sebuah restoran di bandar Kuala Terengganu sempena sambutan tahun baru Cina.

Selain ucapan dari pimpinan politik masyarakat Cina, saya cukup teruja dengan ucapan dan amanat khas DSTG Presiden yang pada saya menarik perhatian masyarakat Cina yang memenuhi seluruh ruang restoran. Saya dapat merasakan ucapan tersebut menyentuh hati mereka, apabila beliau menerangkan asal usul kejadian manusia, bagaimana Allah mencipta manusia dari pelbagai bangsa untuk berkenal-kenalan dan masing-masing mempunyai kebolehan dan kemahiran untuk dimanfaatkan.

Sunday 29 January 2012

Rampasan Tanah SRIDB - Tanda-tanda Sebelum Berakhirnya Zaman Pemerintahan Umno/BN Di Terengganu


Tindakan rakus pihak kerajaan UMNO/BN negeri Terengganu pimpinan Menteri Besar Dato Seri Ahmad Said merampas tanah yang telah dianugerahkan kepada Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) di Mukim Paka sewaktu zaman pemerintahan kerajaan PAS (1999-2004) melengkapkan lagi siri kezaliman kerajaan UMNO/BN di negeri ini.

Samada dari segi pentadbiran mahupun dari segi logik akal, tidak ada alasan lansung yang manasabah, mengapa kerajaan UMNO tergamak bertindak zalim merampas sebahagian tanah 2 ekar yang telah dikurniakan kepada SRIDB untuk dipecah lot dan dibahagi-bahagikan kepada 5 orang JKKK yang merupakan pimpinan UMNO Cawangan. Padahal insitusi pendidikan Islam ini, yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT) telah banyak berjasa, melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dan bakal menjadi ulamak.

Sunday 8 January 2012

Pecat Hassan Ali; satu keputusan penuh pertimbangan dan bijaksana

MARANG - PAS Terengganu menyifatkan keputusan PAS Pusat memecat bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato' Dr Hassan Ali, dibuat dengan penuh pertimbangan dan kebijaksanaan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu Haji Yahaya Ali berkata, keputusan tersebut dibuat dengan meletakkan kepentingan parti dan perjuangan mengatasi kepentingan individu.