Sunday 11 December 2011

Pengukuhan Kelab Veteran PAS Terengganu


Pertemuan dengan Kelab Veteran PAS (KVP) iaitu aktivis-aktivis PAS yang merupakan 'orang lama' di sebuah hotel kelmarin, yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri (BPPNT) adalah sangat menyeronokkan.

Mereka ini walaupun sebahagian besarnya berusia tahun 60 tahun ke atas masih sanggup berpapah untuk meraikan program tersebut. Sekadar menyebutkan beberapa nama, Ayah Su Ustaz Haji Awang Dagang (76 tahun) dari Kemaman, bekas exco dan Mak Su Hajjah Fatimah (85 tahun) dari Marang, bekas isteri Menteri Besar, al-Marhum Daud Samad turut hadir.


Peluang keemasan bertemu ini sudah tentu diisi dengan bertanya khabar tentang keluarga dan kesihatan kerana kebanyakannya ada penyakit kronik. Tetapi apabila menyentuh tentang parti dan perjuangan, air muka masing-masing nampak serious dan bersemangat untuk terus menyumbang sekiranya kesihatan mengizinkan sewaktu sesi berdialog.

Inilah sifat pejuang Islam sejati yang dikurniakan oleh Allah SWT. Perjuangan yang tidak mengenal usia. Mereka telah menyumbang jiwa raga dan harta benda mereka sewaktu 'zaman muda' masing-masing. Bahkan ada di antara mereka yang masih mampu bekerja dan sebahagian besarnya telah meninggalkan kita.

Orang muda sepatutnya merasa malu jika malas bekerja atau memberikan pelbagai alasan untuk menyumbang kepada kerja perjuangan Islam berbanding dengan kesungguhan golongan lama ini.

Dalam ucapan aluan, Setiausaha BPPNT, Haji Yahaya Ali menyatakan, walaupun kelab ini dipimpin oleh orang lama tetapi kegiatannya mestilah sentiasa 'muda' dan disuburkan. Pengalaman hidup orang lama sangat penting kepada parti untuk menjadi sebagai penasihat dan rujukan kepada pimpinan muda untuk meneruskan kerja-kerja perjuangan.

Orang muda katanya, mesti ingat bahawa kelangsungan dan ketahanan parti yang ada sekarang adalah dengan pengorbanan dan jasa orang-orang terdahulu yang mesti tidak dilupakan.

Seterusnya beliau mengharapkan, dalam suasana menghadapi PRU 13 yang semakin hampir, KVP boleh turut membantu berkempen kepada pengundi sasaran terutama di kalangan pesara-pesara dan generasi lama.

Tahniah kepada Tuan Haji Abdul Wahab Salleh (bekas AJK PAS Kawasan Marang dan bekas Calon PAS pilihanraya kecil DUN Binjai pada tahun 1982) yang telah dipilih sebagai Presiden KVP yang baru, menggantikan al-marhum Ustaz Haji Kassim Ahmad yang telah meninggalkan kita, semoga ruhnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT, al-Fatihah...

No comments:

Post a Comment