KUALA TERENGGANU
– PAS Terengganu mengingatkan semua ahli dan penyokong supaya jangan
memberi ruang langsung kepada Umno dan Barisan Nasional memecah belahkan
perpaduan menjelang Pilihanraya Umum yang semakin hampir.
Setiausahanya,
Haji Yahaya Ali berkata, semua pihak mestilah berhati-hati dengan
permainan ‘media musuh’ terutamanya apabila mereka membuka ruang yang
agak luar biasa.
“Dalam suasana kita semakin hampir dengan PRU 13, jangan kita
memberi ruang atau terperangkap dengan agenda yang telah dan sedang
dipasang oleh UMNO/BN,
“terutama apabila media memberi ruang
istimewa kepada kita,”ujarnya dalam kenyataan yang dihantar melalui
e-mel kepada Buletinonline.
Beliau berkata demikian ketika
mengulas isu yang berkait dengan bekas Timbalan Presiden PAS Ustaz
Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Hassan
Ali.
Menurut Yahaya yang juga Yang DiPertua PAS Marang, kedua-dua
mereka itu, masih merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik
selepas pemilihan tidak lama dulu.
Katanya, walaupun PAS membuka
ruang demokrasi kepada semua ahli, namun perkara-perkara yang telah
disepakati dan diputuskan bersama, sepatutnya dituturkan kita dengan
nada yang sama.
Beliau berkata, dalam isu kerjasama dengan UMNO, pimpinan memutuskan, tidak ada persefahaman dalam konteks 'tahaluf as-siyasi'.
“Adapun
kerjasama dalam konteks perpaduan ummah dan isu-isu membina masyarakat,
kita mesti bersama tidak kira dengan sesiapa, samada dengan UMNO atau
mana-mana pihak,”jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, dalam meneruskan
perjuangan, ahli-ahli dan penyokong PAS mesti menerima realiti bahawa ia
ada pasang dan surutnya, dalam konteks kepimpinan.
“Pemimpin
boleh datang dan pergi, tetapi perjuangan mesti diteruskan. Pada
akhirnya bukan diri kita tetapi parti adalah keutamaan.
“Ini
mesti dihayati terutama kepada mereka-mereka yang agak 'baru' memasuki
PAS,”tegasnya dan menasihatkan agar semua pihak bertenang dan mengambil
sikap ‘kurang bercakap’.
Katanya, semakin banyak percakapan atau
kenyataan yang dibuat, ia akan menjadikan jurang semakin besar, antara
kenyataan peribadi dengan kenyataan rasmi pimpinan.
“Kelemahan dan tindakan ahli-ahli memang ada dan mendahului pimpinan utama terutama dalam soal pemilihan calon.
“Tetapi
ini tidak boleh dijadikan alasan utk kita pertahan diri habis-habisan
hingga boleh menjejaskan parti dan memakan diri sendiri,”tambahnya
No comments:
Post a Comment