Thursday 25 August 2011

Libya dalam cabaran!

Berdasarkan sumber berita barat ( walapun CNN, BBC, reuter dll diragui dan penuh propaganda) tetapi yang jelas pihak pejuang (di sebut rebels atau pemberontak) semakin dekat mencapai kemenangan sejak kebangkitan  rakyat Libya menentang pemerentahan Muammar Gaddafi bermula bulan mac tahun ini. Sumber berita tersebut menyatakan mereka telah menembusi kubu kuat Gaddafi di kompleks Bab al-Aziziya yang menjadi ibu pejabat pentadbirannya  dan sedang berusaha menawan kubu terakhir di bandar dan kampung halamannya di Sirte. Walau bagaimanapun mereka juga tidak menafikan pertempuran antara kedua belah umat Islam ini terus berlaku termasuk di kawasan dan bandar yang dikuasai oleh golongan pejuang. Walaupun Gaddafi semakin berundur, tetapi tiada siapa yang tahu di mana beliau berada setakat ini. Ada kebimbangan Gaddafi yang terkenal ganas, sanggup melakukan apa saja termasuk menggunakan senjata kimia atau biologi sebagai senjata terakhirnya.


Golongan pencinta Islam sedang memerhatikan episod perkembangan di Libya ini dengan penuh minat dan debaran. Memang mana-mana perjuangan atau revolusi rakyat memakan korban - sudah ribuan nyawa dan harta benda yang tidak ternilai musnah, tetapi isu utamanya siapa yang berkuasa selepas ini. Mampukah pihak pejuang melalui Majlis Peralihan Kebangsaan atau NTC (National Transitional Council) menyatukan pelbagai puak yang menjadi budaya dalam masyarakat Libya sekiranya mereka menang dalam perjuangan ini. Setakat mana mereka mampu pertahan kedaulatan negara mereka pasca Gaddafi tidak dikuasai oleh barat sebagaimana pengalaman klasik di Iraq.


Selama ini keperluan minyak negara-negara Eropah sebahagian besarnya dibekalkan secara lansung oleh Libya. Mereka mengambil sikap yang cukup berhati-hati dalam menangani isu kebangkitan rakyat Libya ini supaya kepentingan jangka panjang mereka tidak terjejas. Walaupun berlaku juga campur tangan barat, tetapi sumber maklumat dalaman menyatakan kewibawaan Mustafa Abdel Jalil, Ketua NTC juga terserlah di mana beliau tetap mempertahankan negaranya dengan membenarkan NATO hanya terlibat dalam serangan udara sahaja, selebihnya diuruskan oleh pihak pejuang sendiri. Beliau tidak mahu campur tangan total barat di Libya seperti mana berlaku di Iraq yang sudah semacam dijajah sehingga hari ini.

Harapan golongan pencinta Islam kepada Mustafa dan ahli-ahli NTC cukup tinggi. Mustafa dikatakan mempunyai 'track record' yang baik sewaktu dilantik sebagai Menteri Kehakiman dan Keadilan Libya sewaktu era Ghadafi. Ramai musuh politik Gaddafi yang ditahan dibebaskan oleh Mustafa melalui perbicaraan yang adil. Akhirnya beliau bersama dengan rakyat apabila berlaku kebangkitan untuk menumbangkan Gaddafi. Beliau juga sering mengingatkan golongan pejuang supaya tidak melakukan balas dendam di kawasan atau bandar yang dapat ditawan.

Mengikut sumber yang rapat, pihak barat walau pun nampak mahu membantu golongan pejuang melalui NTC termasuk dari segi kewangan dengan mencairkan aset-aset Libya yang dibekukan selama ini tetapi mereka tidak senang dengan sikap dan pendirian Mustafa yang dikatakan cenderung kepada Islam. Mereka mengharapkan golongan sekular-liberal yang menjadi pemimpin utama kerajaan yang bakal dibentuk nanti.

Di sinilah golongan pejuang Islam yang menjadi nadi kepada kebangkitan rakyat di Libya perlu meletakkan diri mereka ke hadapan. Kalau tidak sejarah dan tragedi umat Islam akan berulang. Tradisinya gerakan awal kemerdekaan dipelopori oleh ulamak dan golongan Islam dengan penuh susah payah, tetapi yang menangguk hasilnya di peringkat akhir ialah golongan nasionalis sekular seperti UMNO yang ditaja oleh penjajah. Tanggung jawab golongan Islam di Libya sangat besar -bukan sekadar membebaskan Libya dari pemerintahan kuku besi Ghadafi yang sudah melebihi empat dekad, tetapi juga cabaran menyatu dan membina perpaduan pelbagai puak dan seterusnya memimpin dan mengisi kemenangan dengan Islam. Insya Allah cahaya Islam akan kembali berkuasa!

No comments:

Post a Comment