Saturday 7 April 2012

Pentingnya Ilmu Pengurusan Yang Efektif



Kira-kira 2 minggu lepas, saya turut sama membantu seorang konsultan dari Kuala Lumpur mengendalikan satu kursus pengurusan untuk kakitangan pejabat perhubungan negeri serta semua setiausaha dan setiausaha kerja di peringkat dewan-dewan (negeri) dan kawasan-kawasan.

Pada umumnya kursus ini sangat baik, terutama bagi tujuan untuk baik pulih (service) supaya kakitangan pentadbiran lebih terdedah kepada ilmu pengurusan semasa dan tidak berada dalam zon selesa (comfort zone). Antara cabaran gerakan Islam ialah sebagaimana yang diungkapkan oleh Saidina Ali karramallahu wajhah, " Tanzim yang benar tetapi tidak tersusun boleh dikalahkan oleh tanzim yang batil, tetapi tersusun (well organised). Inilah hasrat saya sewaktu merancang kursus ini supaya petugas dan jentera parti lebih bersedia dan lebih mahir dalam mengurus kerja terutama dalam menghadapi PRU 13.

Dalam ucapan penutup, saya menyebutkan kepada mereka bahawa saya sendiri banyak menimba ilmu dan pengalaman dalam kursus selama 2 hari ini, walaupun sebelum ini pernah mengikuti pelbagai kursus. Antara lainnya di Institut Tadbiran Negara (INTAN), Pusat Daya Pengeluaran Negara (NPC), Jabatan Kilang & Jentera selain dari kursus di Akademi Pembangunan Insan (Pupuk Semangat) dan kursus untuk melengkapkan syarat menjadi pengerusi atau ahli lembaga pengarah syarikat (GLC) sewaktu zaman kerajaan (PAS).

Antara fokus dan pendedahan kursus ini ialah, sikap bekerja yang berkesan, pengurusan yang mantap dan alat-alat pengurusan yang efektif. Sebagai setiausaha perhubungan negeri dan ketua pentadbir parti, saya sangat mengharapkan beberapa perkara berikut yang dibincangkan dalam kursus diberi perhatian dan menjadi agenda bertindak di kalangan peserta kursus :

a) Sikap dan budaya kerja yang lebih berkesan seperti bersifat proaktif, kerja bermatlamat, meletakkan keutamaan, mencapai suasana menang-menang (win-win situation) dan hubungan sinergi.

b) Pengurusan yang lebih sistematik, mendahulukan pelanggan (orang ramai) dan komunikasi yang berkesan termasuk melalui penggunaan kemudahan ICT seperti telefon, sms, emel, face book, twitter dan lain-lain.

c) Mampu menyediakan sistem laporan kerja yang ringkas tetapi bersifat mewakili dan mudah difahami dengan cara persembahan dan format terkini.

Apa yang penting selepas kursus ini, setiap kakitangan mesti mampu menyelesaikan masalah kerja di medan masing-masing dengan matlamat yang telah ditetapkan (management by objective - MBO). Penggunaan indikator pengukur prestasi (key performance indicator - KPI) adalah sangat baik kepada setiap kakitangan tetapi isu sikap dan budaya kerja yang tidak efektif mestilah diselesaikan terlebih dahulu. Sebagai sebahagian dari mata rantai perjuangan Islam, masing-masing perlu melakukan yang terbaik untuk parti. Gaya kerja petugas kita mestilah dilihat sebagai gaya kerja pihak yang akan menang dan bakal memerintah. Kalau tidak, kita akan terus berada ditakuk lama dan tenggelam dengan angan-angan.

"PRU 13 adalah ibu segala perang dan mesti dimenangi oleh UMNO/BN dengan apa cara sekalipun", kata Dato Seri Najib sebagai Presiden UMNO, sekaligus sebagai ketua kerajaan. Kenyataan ini adalah signal amaran kepada kita, bahawa pihak lawan telah dan sedang membuat segala persiapan untuk mempertahankan kerajaan yang ada. Oleh itu, semua petugas parti wajib berjihad dan mengerahkan segala kekuatan - ilmu pengurusan, masa, tenaga dan wang ringgit untuk memenangi pilihanraya kali ini, insya Allah.

Setiap petugas kita mesti melakukan kerja secara sistematik. Strategi kerja menarik pengundi mesti dipelbagai dan tidak tenggelam dengan pendekatan yang sama (streotype) kerana pengundi terdiri dari pelbagai latarbelakang yang berbeda. Kerja menghadapi pilihanraya menuntut kita untuk bekerja secara terus menerus, bukan secara bermusim. Fokus kerja mesti ditumpukan kepada pengundi-pengundi sasaran, bukan hanya berlegar dikalangan sesama sendiri.

Gendang perang pilihanraya sedang dipalukan oleh pihak yang berkuasa. Maka marilah sama-sama kita beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud :

" Berangkatlah kamu samada dalam keadaan ringan mahupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itulah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui ".  (at-Taubah, ayat 41)

No comments:

Post a Comment