Monday 10 October 2011

Ucapan pada Ijtimak PAS Besut

Kita hendak hadap pilihan raya yang akan datang ini dalam keadaan yang bersedia sungguh. Kita hendak jadikan pilihan raya kali ini sebagai pilihan raya yang terbaik dari sudut penyertaan kita, penglibatan kita, kerja keras kita supaya apa yang menjadi cita-cita bersama kita yang kita hendak tawan (Operasi Tawan Besut) 4+1, Insya’Allah akan menjadi kenyataan.

Seterusnya, kemenangan kita di Besut ini akan membantu PAS Terengganu untuk kita tawan negeri Terengganu. Dan kemenangan di Terengganu juga membantu kita untuk kita menyumbangkan kepada kemenangan kita untuk menawan Putrajaya, Insya’Allah.

Ini bukan ‘angan-angan’ atau ‘cakap-cakap kosong’ tapi ini merupakan suatu perkara yang menjadi perbincangan, yang menjadi suatu gerakan yang ada di mana-mana sekarang ini. Orang bercakap inilah peluang terbaik Pakatan Rakyat termasuklah PAS kita ini untuk membuat satu sejarah bagi suatu kemenangan yang gemilang dalam pilihan raya yang akan datang ini.


Kita jangan mudah lemah semangat walau pun dalam pembentangan Belanjawan (Bajet) 2012 baru-baru ini nampaknya Barisan Nasional (BN) khususnya Perdana Menteri jika boleh hendak rai ‘belaka’ (semua) dengan suatu pemberian ‘one off’ sekali dalam pelbagai sektor.

Betapa Umno-BN dilihat berada dalam keadaan begitu terdesak untuk mengambil hati rakyat supaya dilihat sebagai pimpinan dan kerajaan yang betul-betul bertanggungjawab untuk membuat kebajikan kepada rakyat.

Saya yakin dengan cakap-cakap kita, dengan sembang-sembang yang berlaku sekarang ini Insya’Allah, rakyat tidak akan terpengaruh walau pun rakyat menerima sedikit-sebanyak habuan dalam pembentangan Bajet 2012.

Kita ambillah sebagai salah satu faktor penting bahawa pembentangan bajet atau belanjawan 2012 itu memberi suatu isyarat yang kuat pilihan raya akan diadakan dalam masa waktu yang terdekat ini. Sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan, memang (pilihan raya) sangat dekat. Apa yang saya fakir kita tidak lagi buat kerja ‘stail’ lama yang kita hendak tunggu bubar dewan baru hendak buat kerja.

Kita hendak menang pilihan raya ini ada empat faktor penting yang mempengaruhi keputusan pilihan raya. Empat faktor ini berkait dengan kajian-kajian yang kita (PAS) buat iaitu berkait sikap pengundi dan kesan kepada pengundi.

Kita boleh menang pilihan raya pertama sekali ialah berkait faktor keyakinan rakyat kepada parti dan perjuangan kita (PAS). Sebab itu, Umno-BN cuba menggambarkan parti PAS lemah, parti yang tidak boleh buat kira, parti yang tidak konsisten dalam perjuangan. Contohnya, dalam isu hudud digambarkan sebagai hudud parti PAS dan bukan hudud yang sebenarnya daripada Allah SWT. Dia (Umno) menimbulkan suatu keraguan kepada rakyat. Apa yang kita hendak supaya rakyat tahu perjuangan kita yang sebenar hendak kepada dasar Islam.

Kedua, faktor yang berhubung-kait menang atau kalah dalam pilihan raya ini ialah factor jentera pilihan raya dengan pelbagai portfolio yang kita bentuk seperti daftar pemilih, bilik gerakan, penerangan, urusan pemuda, Halwa, ulama’, keselamatan, gerak saraf dan sebagainya itu bergerak (berfungsi) atau tidak lebih awal. Bergerak atau tidak di peringkat Unit Peti Undi (UPU) dan cawangan kerana ini yang berada di medan.

Setiap ahli dan petugas kita yang ada sijil keahlian masing-masing. Dalam sijil itu sebut kita kata kita berbaiah kepada perjuangan kita. Dalam Perlembagaan PAS juga disebut salah satu tugas dan tanggungjawab di peringkat cawangan ialah meluaskan pengaruh kita dalam masyarakat. Dan mestilah cawangan tersebut kena hidup, kena aktif dan ada program-program untuk menarik sokongan rakyat kepada kita.

Orang yang menentukan kemenangan kepada PAS sebenarnya bukan di kalangan ahli-ahli PAS tetapi ialah orang yang menentu ialah orang yang di luar daripada kita ini. Orang atas pagar dan termasuklah orang Umno yang bermasalah dan seumpamanya.

Saya hendak minta sungguh bilik gerakan kena buka dan hidupkan sekarang ini. Bilik gerakan di peringkat UPU terutamanya kena buka, kena hidup sekarang ini. Jangan ada mana-mana peringkat khasnya di kawasan Besut ini masih belum ada bilik gerakan, atau jika ada pun tidak aktif lagi. Sebab itu, kena pastikan ada petugas yang bekerja di pejabat ini.

No comments:

Post a Comment