Sunday 18 September 2011

Konvokesyen KUDQI Ke-9, 2011

Menghadiri majlis konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) kali ke 9 di Kubang Lembik hari ini (17 September)  penuh dengan perasaan yang bercampur-baur. Mewakili Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu (BPPNT) dalam majlis tersebut, saya merasa kagum dengan kejayaan 55 orang lepasan diploma pengajian agama dalam pelbagai bidang. Kebanyakan daripada mereka akan menyambung pengajian di peringkat ijazah samada dalam atau luar negeri. Tetapi lebih mengkagumkan sudah tentu usaha gigih dan pengorbanan pihak pentadbiran dan para pensyarah dan semua pihak terlibat yang terus membina dan  mempertahankan institusi pengajian tinggi (IPT) ini walaupun tanpa bantuan pihak yang berwajib.



Tempat yang melahirkan ulamak dan cendikiawan Islam ini sepatutnya dibantu secara resmi oleh pihak berkuasa, tetapi yang sedihnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka tidak putus-putus mengadakan sekatan demi sekatan untuk melemahkan IPT ini sehingga dalam soal kemudahan menyambung pengajian ke luar negeri yang sebelum ini mendapat pengiktirafan dan kerjasama seperti di Universiti al-Azahar. Pelajar pula terpaksa berkorban dengan ketidakselesaan kemudahan prasarana yang sewajarnya


Masyarakat yang sedar peri pentingnya pendidikan agama dalam membina generasi dan negara harus melihat isu ini yang banyak berlaku di pusat-pusat pengajian yang ditaja oleh PAS sebagai isu yang serious dan perlu ditangani segera. Kita menghadapi kerosakan masyarakat yang perlu bimbingan tangan ulamak yang berwibawa yang boleh dilahirkan dalan IPT seumpama ini. Kita perlukan lebih ramai ulamak untuk memberikan cahaya ilmu kepada masyarakat supaya mereka mengenal batas-batas hak dan batil dan seterusnya memberi peringatan kepada masyarakat.

Apa lagi yang kita tunggu selain dari membuat perubahan kepada kepimpinan yang memerintah supaya diserahkan kepada orang yang cintakan ilmu, kebenaran dan melaksanakan amanah memerintah dengan penuh keadilan. Ulamak adalah pewaris para Nabi yang perlu didekati untuk mendapat 'cahaya' bukan dimusuhi kerana takut hilang kuasa atau tidak bebas melakukan apa sahaja.

Sudah tentu medan terbaik ialah memberi kefahaman kepada masyarakat untuk membuat perubahan dalam pilihanraya umum (PRU) ke 13 akan datang. UMNO/BN sudah hilang pedoman dan tidak boleh diharapkan lagi untuk memperjuangkan pendidikan Islam seperti menghapuskan tulisan jawi dan dasar pendidikan yang rapuh. Mereka mengambil Islam secara serpihan apabila ada keuntungan politik kepada mereka. Sebab itu kesannya antara lain masalah gejala sosial dan peningkatan kadar jenayah sudah sampai ke satu tahap yang amat membimbangkan. Selamatkan Malaysia, masa untuk berubah, PAS ganti UMNO (PGU)!

No comments:

Post a Comment