Wednesday 25 April 2012

Kebangkitan Rakyat Terengganu


Tanggal 24 April 2012 merupakan suatu sejarah kepada rakyat negeri Terengganu yang sukar dilupakan. Pada tarikh tersebut, saya turut sama dengan pimpinan PAS yang lain memimpin rakyat mengadakan himpunan secara aman di perkarangan Wisma Darul Iman, pusat pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. Kami telah berjaya menyampaikan memorandum bantahan kepada YAB Menteri Besar Negeri Terengganu, Dato Seri Ahmad Said berhubung isu rampasan tanah rakyat. Kebetulan hari itu sedang berlansung sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Himpunan rakyat bermaruah, lebih 5000 orang ini menandakan rakyat Terengganu sudah mulai bangkit. Mereka rasa ada harga diri dan hak yang perlu ditunjukkan kepada pihak yang berkuasa. Selama ini dengan slogan kerajaan UMNO/BN 'rakyat didahulukan', mereka mengambil sikap senyap saja walaupun ada isu-isu yang menyentuh hati mereka. Isu kenaikan harga barang-barang, kos hidup yang semakin tinggi, projek yang membazir seperti 'monsoon cup', penyelewengan projek seperti stadium Sultan Mizan yang runtuh, tidak meletakkan keutamaan projek untuk rakyat seperti Zoo Bukit Takal, Kemaman dan isu-isu lain, mereka hanya sekadar mengeluh dan memendam perasaan geram dan rasa tidak puas hati.

Sebenarnya isu tanah ini sudah lama rakyat tidak puas hati. Bermula selepas jatuhnya kerajaan PAS/Barisan Alternatif pada tahun 2004 dulu, kerajaan UMNO/BN telah merampas balik hampir 50,000 lot tanah rancangan tanah berkelompok (RTB) samada tapak rumah atau tanah pertanian yang dikurniakan oleh kerajaan PAS kepada rakyat yang layak, tetapi tidak sempat dikeluarkan geran hak milik kekal. Tindakan MB, Ahmad Said adalah sama dengan kezaliman bekas MB, Idris Jusoh yang telah menjadi 'habit', suka merampas tanah rakyat dengan sewenang-sewenangnya. Antara kandungan memorandum yang disampaikan adalah berkait dengan isu-isu tanah berikut :

a) Tanah Sekolah Islam Darul Bayan di Paka - tanah seluas 2 1/2 ekar dikurniakan kepada sekolah sejak tahun 2003, tetapi sebahagiannya dirampas untuk dibahagi-bahagikan kepada 5 orang JKKK UMNO di mana sebahagiannya untuk tapak cadangan asrama anak yatim.

b) Tanah RTB Kubang Labi, Kampong Banggol, Permaisuri, Setiu - 70 peserta RTB yang dikurniakan tanah sejak 2002, dirampas tanah mereka oleh pihak kerajaan untuk projek ternakan udang, i-SHARP.

c)  Tanah padi kampong Jelapang, Setiu - tanah yang telah diusahakan sejak tahun 1980 an, melibatkan 88 peserta/keluarga dengan keluasan 200 ekar tidak disambung lesen tumpangan (LMS) dan dipaksa untuk diserahkan apa yang didakwa sebagai projek mini estet padi.

d) Tanah kampong Banggol Donas, Jeram - satu perkampungan Melayu yang melibatkan 22 buah rumah hilang kerana kerajaan tidak mahu bertolak ansur untuk jalan alternatif susur keluar projek Lebuh Raya Pantai Timur yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui tanah milik sebuah syarikat korporat.

e) Tanah untuk generasi kedua Felda - tanah rezab di kawasan Felda Ketengah Jaya yang asalnya dipecah lot sejak tahun 2003 untuk dibahagikan kepada lebih 500 orang generasi kedua Felda dirampas semula oleh pihak kerajaan untuk projek yang didakwa sebagai projek perumahan yang akan dijual kepada orang ramai

Apa yang lebih menyedihkan, dalam keadaan 'kepentingan rakyat tidak didahulukan', kerajaan UMNO/BN tanpa rasa segan dan silu dengan bangga mengesahkan dalam sidang dewan undangan negeri pada hari perhimpunan tersebut, seramai 12 orang wakil rakyat UMNO/BN telah dikurniakan lebih kurang 2 1/2 ekar tanah setiap orang dan akan diikuti oleh wakil-wakil rakyat UMNO/BN yang lain selepas ini. Mereka sudah lupa tanggungjawab mereka sebagai pemimpin yang mengambil amanah Allah untuk menjaga kepentingan rakyat. Mereka tidak ingat lagi slogan yang mereka cipta iatu wakil rakyat adalah 'khadam rakyat'. Mereka benar-benar menggunakan kuasa mereka dengan rakus, sebab mereka yakin rakyat tetap menyokong mereka walau apa pun tindakan mereka.

Kebangkitan yang berlaku di negara-negara Arab (Arab Spring), memperlihatkan satu demi satu kuasa dan pemimpin  diktator jatuh menyerah kepada rakyat, tidak mustahil berlaku di negara kita. Mereka melihat parti dan pemimpin yang begitu lama berkuasa sudah tidak boleh dipercayai lagi kerana menyalahgunakan kuasa, rasuah, membina dan mengumpul kekayaan untuk diri, keluarga dan kroni serta bertindak zalim kepada rakyat.

Mereka tidak boleh berpeluk tubuh lagi, hanya sekadar sebagai pemerhati melihat kezaliman yang beraku. Mereka sudah tidak sabar untuk mengajar UMNO/BN bukan sekadar di jalan raya tetapi di peti undi dalam PRU 13. Inilah kuasa sebenar rakyat, selain dari doa orang yang dizalimi, tiada hijab di sisi Allah SWT. Rakyat Terengganu harus bangkit dan membuat perubahan. Tawaran manifesto PAS negeri termasuk membela rakyat yang hak tanah mereka dizalimi. Tema manifesto iaitu ' Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan' insya Allah tidak mengecewakan rakyat.

No comments:

Post a Comment